Wednesday, March 25, 2009

Risiko Memandu Kereta Dalam Hujan Lebat

Apabila kereta bermasalah akibat masuk air di dalam enjin, kos pembaikannya tidak sedikit. Lebih baik menangguhkan perjalanan daripada menanggung risiko tinggi.

Lewat petang semalam hujan cukup lebat dengan ribut kuat di sekitar Putrajaya. Banyak pokok yang patah dahan berjuntai di pinggir-pinggir jalan. Ada juga yang patah hampir menghalang jalan raya.

Dan pagi tadi semasa hendak keluar kerja saya ternampak kawan saya sedang memeriksa keretanya kerana tidak mahu hidup. Bila ditanya rupa-rupanya semalam semasa pulang ke rumah waktu hujan lebat, dia meredah air hujan yang bertakung di atas jalan raya.

Patutlah... fikir saya. Lantas saya terus mengagak kereta itu bermasalah disebabkan kesan air hujan. Mengikut kawan saya, kedalaman air yang diredah mencecah paras ekzos. Untuk mendapatkan kepastian lagi saya bertanya kawan saya itu adakah dia menukar gear keretanya ke gear lebih rendah semasa meredah air? Ya, jawab dia. Dan bagi saya, sahlah air telah masuk ke dalam enjin kereta menyebabkan kereta itu bermasalah.

Untuk panduan semua pengguna kereta, satu perkara yang perlu kita ketahui bagi mengelakkan kita mengalami masalah sama seperti kawan saya tadi. Terutama bagi yang menggunakan kereta gear manual.

Baik apa jenis kereta pun, sebaik-baiknya elakkan daripada mengharung air hujan. Tetapi jika sudah terperangkap dalam air yang paras mengatasi sedikit ekzos kereta, apa yang perlu kita buat ialah pastikan semasa mengharungi air JANGAN MENUKAR GEAR KERETA anda, kerana sewaktu kita menekan klac (clutch) kereta untuk menukar gear, semasa itu air akan tersedut masuk ke dalam ekzos.

Jika air memasuki ekzos, ia boleh terus pergi ke dalam enjin. Dengan tidak menukar gear semasa meredah dan kita terus menekan pedal minyak, air tidak akan dapat masuk ke dalam ekzos. Teruskan pergerakan kereta dan jangan sekali-kali lepas pedal minyak.

Saya bukan menyarankan anda meredah air dengan kereta bahkan mengesyorkan agar cuba elak daripada berbuat demikian. Tetapi jika terpaksa kerana terperangkap, maka jangan panik, lakukan seperti dinyatakan di atas.

Sehebat mana pun kereta anda, kereta tetap kalah dengan air. Jadi dalam situasi hujan lebat dan ada air bertakung di atas jalan raya, berhati-hatilah. Sungguhpun badan kita tidak basah kerana berada di dalam kereta, namun ketahanan kereta kita dengan air perlu diberi perhatian.

Apabila kereta bermasalah akibat masuk air di dalam enjin, kos pembaikannya tidak sedikit. Sebab itu kata seorang kawan saya yang lain pula, dia lebih sanggup menangguhkan perjalanan dan tidur di hotel daripada meredah air hujan.

Harap panduan ini berguna untuk semua pengguna kenderaan.

No comments: