Thursday, April 9, 2009

Peluang Belajar di ILP bagi Lepasan SPM dan STPM

Tahukah kita bahawa Institut Latihan Perindustrian (ILP) ada menawarkan kursus-kursus peringkat sijil bagi pelajar-pelajar lepasan SPM dan juga STPM? Saya percaya ramai ibu bapa dan pelajar sendiri yang tidak tahu peluang belajar yang disediakan oleh ILP.

Bagi pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan kurang baik dan tidak mendapat tempat di universiti, ILP adalah antara tempat sesuai untuk meneruskan pengajian. Biarpun ILP ditubuh sudah agak lama, tetapi ramai yang tidak tahu. Ia mungkin disebabkan tidak ada atau kurang promosi.

Walaupun kursus yang ditawarkan adalah peringkat sijil sahaja, namun pendekatan yang diambil oleh ILP dengan mengajarkan kursus yang lebih berbentuk kemahiran serta mempunyai rangkaian dengan industri menjadikan pelajar lepasan ILP mudah mendapat pekerjaan.

Selain itu, setelah tamat peringkat sijil, para pelajar lepasan ILP mempunyai peluang melanjutkan pengajian di peringkat diploma yang dijalankan oleh kolej-kolej yang sedia menerima mereka.

Kos pengajian juga sangat rendah kerana segala kemudahan disediakan percuma termasuk tempat tinggal di asrama. Bukan setakat itu sahaja, pihak ILP menyediakan elaun bulanan sebanyak RM100 sebulan untuk meringankan beban perbelanjaan ibu bapa. Pendek kata, belajar di ILP, segala-gala ditanggung oleh ILP.

Dan boleh dikatakan di setiap negeri terdapat cawangan ILP dengan kursus-kursus yang ditawarkan ada yang sama dan ada yang berbeza-beza. Sebagai contoh ialah ILP Selandar, Melaka.

ILP Selandar sangat menarik kerana lokasinya di luar bandar dan tidak banyak gangguan dengan suasana aman dan cukup sesuai untuk pelajar yang tinggal di asrama serta jauh daripada ibu bapa.

Jika ada yang berminat, cara memohon boleh dibuat dengan menghubungi terus ILP berkenaan dan pihak ILP akan memaklumkan apa proses yang perlu dibuat.

Di sini disediakan alamat laman web ILP Selandar (http://www.ilpselandar.gov.my) untuk memudahkan saudara mendapat maklumat lanjut atau berurusan dengannya.

Harap ibu bapa dan pelajar mengambil peluang belajar di mana-mana cawangan ILP dengan memilih kursus yang sesuai. Dengan itu dapatlah dikurangkan masalah pelajar lepasan SPM yang tidak meneruskan pengajian semata-mata disebabkan tidak dapat masuk univerisiti.

Untuk senarai kesemua ILP, sila lawati laman web Kementerian Sumber Manusia dan lihat di bawah kategori Institut Latihan.

No comments: