Sunday, July 31, 2011

Kesilapan Punca Tewas Kepada Singapura

Rata-rata peminat bola sepak negara berbangga dengan sumbangan Datuk K. Raja Gopal terhadap pencapaian cemerlang skuad kebangsaan dalam masa yang singkat. Tidak dinafikan juga usaha Raja Gopal telah mencetuskan perubahan besar dalam arena bola sepak negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

Berdasarkan sambutan peminat yang amat mengagumkan, terbukti hasil usaha Raja Gopal turut merubah paradigma rakyat tempatan terhadap kualiti dan masa depan pasukan bola sepak kebangsaan. Sudah pasti ia menjadi pencapaian lalu tercatat sebagai simbol kecemerlangan dan akan dikenang.

Namun kegagalan pasukan bola sepak kebangsaan untuk mara ke peringkat seterusnya dalam kelayakan Pra Piala Dunia 2014 sekali gus untuk mencipta sejarah lebih bermakna masih lagi dirasai oleh jutaan peminat bola sepak negara.

Tidak keterlaluan jika kegagalan itu disifatkan sebagai satu 'tragedi' yang memilukan kerana ditewaskan oleh Singapura - pasukan yang di atas kertas mempunyai kekuatan seimbang dengan skuad negara. Tetapi skuad negara mempunyai beberapa kelebihan tambahan seperti moral dan imej selaku jaguh Asia Tenggara.

Apa pun alasannya, skuad kebangsaan telah mensia-siakan peluang yang sedia terhidang untuk kita mencipta satu lagi sejarah. Menyalahkan mana-mana pihak bukanlah suatu cara yang bijak. Sebaliknya kita perlu mencari apakah sebab-sebabnya? Di manakah atau apakah silapnya?

Sebab yang jelas dilihat terhadap kekalahan kepada Singapura ialah kelemahan pertahanan pasukan kebangsaan dan prestasi keseluruhan pasukan kurang mantap.

Sebenarnya jika kita perhatikan semula, kerapuhan benteng pasukan kebangsaan jelas dapat dilihat sejak perlawanan pusingan pertama dengan pasukan Taiwan. Lebih-lebih lagi pada perlawan kedua.

Seterusnya dua perlawanan persahabatan bertemu Arsenal dan Liverpool menyaksikan bukti yang lebih nyata. Memang tidak adil untuk membanding skuad kebangsaan dengan kedua-dua pasukan bertaraf dunia itu. Tetapi ia setidak-tidaknya memberikan gambaran lebih jelas lagi tahap kerapuhan pertahanan kita.

Memang bukan pertahanan sahaja yang menjadi sebabnya kerana bola sepak adalah permainan berpasukan. Terdapat juga kelemahan pada bahagian-bahagian lain yang turut merumuskan prestasi keseluruhan pasukan. Tidak hairanlah jurulatih pasukan Taiwan telah menyifatkan bahawa pasukan Singapura lebih mantap berbanding Malaysia.

Tetapi sayang kita seolah-olah tidak mengambil pengajaran daripada segala petunjuk dan amaran awal. Sewajarnya kita berterima kasih kepada jurulatih Taiwan yang membuat kenyataan secara jujur itu dengan mengambilnya sebagai suatu teguran yang positif. Tetapi kita nampaknya lebih suka menjaga status-quo dengan ego kita sebagai pasukan yang telah menyingkirkan Taiwan dan selaku jaguh Asia Tenggara.

Itu satu kesilapan. Dan kesilapan lebih besar ialah kita tetap tidak berganjak menyenaraikan barisan yang sama terutama bahagian pertahanan biarpun isyarat sudah jelas untuk dibuat perubahan. Ketika itu adalah wajar sekali untuk kita memikirkan tentang khidmat pemain-pemain senior bagi memperkemaskan barisan pertahanan.

Perancangan memperkemaskan bahagian pertahanan pasukan kebangsaan dengan pemain senior tidak sepatutnya bergantung pada persembahan mereka dalam perlawanan persahabatan menentang Chelsea, malah perlu dilakukan lebih awal dari itu kerana kita mempunyai banyak pemain-pemain pertahanan yang baik daripada pelbagai pasukan Liga Super dan Liga Perdana.

Tetapi kita masih lagi berkeras untuk menggunakan khidmat pemain yang sama. Lebih tidak wajar kita menggunakan khidmat beberapa pemain yang mempunyai dua komitmen serentak iaitu untuk pasukan kebangsaan dan olimpik. Padahal secara psikologi komitmen yang berganda ini turut menjejaskan tumpuan mereka.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Tan Sri Anuar Musa, Timbalan Presiden FAM yang menyatakan bahawa pemilihan pemain sepatutnya dibuat berdasarkan merit, bukan mengikut projek.

Pandangan beliau ada benarnya kerana tujuan pasukan projek ialah untuk mencapai hasil pada masa akan datang. Tetapi kelayakan Pra Piala Dunia 2014 adalah hasil yang perlu kita capai sekarang. Justeru amat wajar sekali kita menurunkan pasukan yang benar-benar mantap dengan pemilihan pemain-pemain terbaik dan digabungkan antara pemain muda dan senior.

Seperkara lagi, persaingan Liga Malaysia yang telah dijadualkan dengan padat untuk ditamatkan lebih awal bagi memberikan ruang kepada pembentukan sebuah pasukan kebangsaan yang mantap tetapi gagal dimanfaatkan atau digunakan sebaiknya. Walhal pada ketika itu kita sudah mempunyai maklumat tentang pemain-pemain yang boleh memperkuatkan skuad kebangsaan.

Tetapi kebanyakan mereka hanya sekadar dipanggil. Ada yang disenaraikan tetapi sekadar mengemaskan bangku pemain simpanan. Prestasi mereka seolah-olah tidak setanding dengan pemain-pemain muda (projek) yang telah berjaya merangkul dua kejayaan lalu.

Saya percaya semua mengakui bahawa Raja Gopal adalah antara jurulatih bola sepak negara yang terbaik. Tetapi kita perlu sedar jurulatih terkenal yang membimbing pasukan bertaraf dunia pun melakukan kesilapan.

Dalam hal ini kita telah melakukan kesilapan besar dengan masih mempertaruhkan barisan yang muda yang nyata kurang mantap untuk bersaing di peringkat lebih tinggi sedangkan pelbagai petanda, teguran, kritikan telah disampaikan. Kita juga memikulkan sebahagian mereka dengan beban yang berat.

Kita perlu ingat sewaktu menjuarai sukan SEA dan piala AFF Suzuki lalu, semua pemain dalam satu pasukan hanya mempunyai satu fokus - satu kejohanan. Tetapi berbeza untu kali ini, terdapat beberapa pemain penting terlibat dengan dua pasukan. Sedangkan kita sedia maklum, untuk berjaya kita perlu betul-betul fokus. Fikirkan.

Walau bagaimanapun kita masih ada berita baik - kesilapan hari ini jika dipelajari dan diperbaiki akan menghasilkan kejayaan untuk hari depan. Itupun jika kita ambil pengajaran dan perbaiki kesilapan.

Walau apapun alasannya, kita telah terlepas peluang yang sedia terhidang. Kita tewas bukan kita bukan tidak kuat tetapi kita silap.

Namun kesilapan sedemikian adalah terlalu besar dan tinggi harganya untuk kita biarkan begitu sahaja. Ia menuntut 'bayaran' yang lebih tinggi.





.

No comments: