Seluruh Malaysia tahu mengenai insiden di luar stadium Sultan Mohamed ke-IV, Kota Bharu pada awal pagi beberapa hari lepas, iaitu selepas perlawanan suku akhir pertama antara Kelantan dan Negeri Sembilan.
Berita berkenaan juga disiarkan dalam siaran ESPN Astro. Komen akhbar-akhbar tempatan - peristiwa memalukan.
Apakah punca sebenar insiden tersebut? Adakah situasi Kelantan yang mengecewakan peminat setianya tidak pernah berlaku sebelum ini?
Setelah meneliti berita yang disiarkan sama ada dalam akhbar dan televisyen, saya melihat masalah sebenar perkara ini ialah dari segi psikologi kemanusiaan.
Rekod pasukan Kelantan yang terkandas pada saat-saat peminat dan penyokong setia meletakkan harapan tinggi untuk mencipta kejayaan, sudah banyak kali berlaku.
Kita lihat pada tahun 1993 sewak pasukan Kelantan berjaya memasuki peringkat suku akhir pertandingan Liga Perdana. Hanya satu langkah lagi untuk Kelantan mencipta sejarah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia sehingga suasana di Kelantan terutama di Kota Bharu dilanda demam bola sepak.
Tetapi akhirnya Kelantan gagal layak ke perlawanan akhir. Namun dengan demam bola sepak yang hebat dan harapan peminat Kelantan menggunung tinggi itu, mereka yang dikatakan penyokong fanatik masih dapat menerima kekalahan itu.
Setakat lontaran mercun dan balingan air botol, itu perkara biasa sebagai melepaskan perasaan kecewa, tetapi tidaklah sampai bertindak di luar batasan yang mengancam keselamatan di luar padang.
Dan kalau disingkap sejarah perjalanan bola sepak Kelantan, bukan pada tahun 1993 sahaja, tahun-tahun berikutnya pun menyaksikan Kelantan banyak mengecewakan harapan peminat-peminat 'fanatik'nya. Senario bermula dengan prestasi baik pada peringkat awal liga tetapi merosot dan menghampakan pada akhir musim liga.
Termasuk pernah menjadi naib juara Liga dalam beberapa tahun lepas, pada hal harapan tinggi diletakkan oleh peminatnya agar Kelantan menjuarai liga. Sekali lagi penyokong 'fanatik' Kelantan teruji namun tidak ada rusuhan dan tindakan di luar batasan undang-undang keselamatan.
Jadi, sebenarnya penyokong 'fanatik' bola sepak Kelantan sudah masak dengan senario persembahan pasukan kesayangan mereka. Mereka sudah tidak begitu terperanjat jika setiap harapan yang diletakkan pada saat Kelantan memerlukan kemenangan dan keputusan sebaliknya pula berlaku - mereka dapat terima.
Terbaru, seminggu sebelum kejadian itu - ialah Kelantan ditewaskan oleh pasukan yang sama di tempat yang sama - ditewaskan oleh Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, tetapi ia adalah perlawanan untuk persaingan Liga Super. Kelantan tewas 1-2 dan berlaku insiden lontaran mercun dan botol air mineral. Tetapi tidak berlaku insiden luar jangka. Kenapa?
Tetapi seminggu selepas itu, Kelantan ditewaskan lagi oleh pasukan yang sama di tempat yang sama. Yang berbeza ialah tewas dengan jaringan 0-1 dan persaingan itu ialah bagi menentukan kemaraan ke peringkat Akhir Piala FA.
Sedarkah kita apa yang berbeza bagi pasukan Kelantan terhadap perlawanan untuk Liga Super dan Piala FA? Sedangkan sebagaimana kita peminat-peminat bola sepak sudah maklum, Liga Super destinasinya ialah Juara Piala Malaysia, jauh lebih prestij berbanding Juara Piala FA.
Menjawab soalan tadi, pada pengamatan dan penilaian saya inilah antara punca utama yang mengakibatkan berlaku insiden luar jangka itu.
Dengan janji untuk membawa skuad Kelantan ke Old Trafford sekiranya layak ke perlawanan akhir Piala FA, saya percaya penyokong 'fanatik' Kelantan meletakkan harapan yang luar biasa tinggi terhadap kejayaan Kelantan.
Kerana kita tahu sambutan dan kegilaan peminat bola sepak tanah air terhadap pasukan Manchester United (Man-U) dan kebanggaan itu sebati dengan stadiumnya sekali - Old Trafford.
Saya juga percaya, bagi penyokong 'fanatik' Kelantan, jika Kelantan dapat memasuki perlawanan akhir Piala FA dan tewas, itu tidak mengapa kerana yang lebih penting ialah pasukan Kelantan dapat ke Old Trafford.
Dengan hasrat dan rasa bangga jika Kelantan dapat ke Old Trafford dan ditambah dapat menyaksikan Kelantan beraksi pada perlawanan akhir Piala FA nanti serta harapan seterusnya untuk melihat pasukan mereka mencipta tiga sejarah secara sekali gus iaitu i) layak ke perlawanan akhir Piala FA, ii) dapat ke Old Trafford dan iii) menjuarai Piala FA.
Bayangkan betapa besar harapan penyokong 'fanatik' Kelantan pada tahun ini khususnya untuk perlawanan bagi Piala FA. Dan harapan untuk perlawanan Liga Super tidaklah setinggi itu, biarpun mereka tahu barisan pemain yang sama berada dalam skuad Kelantan pada masa ini.
Dengan harapan yang amat luar biasa itu maka tidak hairanlah penyokong 'fanatik' Kelantan sukar menerima kenyataan untuk Kelantan tewas pada perlawangan 'genting' itu lebih-lebih lagi di gelanggang sendiri.
Oleh itu, apabila terdapat sedikit pencetus kepada perkara negatif, maka sukar bagi mereka mengawal emosi lantas membawa hingga terjadi insiden yang amat di luar dugaan sekali.
Daripada segi psikologi, seseorang yang dijanjikan dengan harapan yang sangat tinggi dan menarik jika berjaya melaksanakan sesuatu perkara, akan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya. Tetapi jika mereka gagal mendapat apa yang dijanjikan itu lantaran gagal memenuhi syarat tadi, seseorang boleh bertindak di luar dugaan kerana mengalami kesan psikologi yang amat ketara.
Sebagai contoh, jika seorang bapa menjanjikan sesuatu yang sangat disukai oleh anaknya sekira anaknya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, misalnya mendapat 17A dalam peperiksaan SPM. Tetapi setelah berusaha bersungguh-sungguh dan gagal mencapai keputusan yang diharapkan, sekali gus anak itu tidak akan mendapat apa yang dijanjikan itu, maka kemungkinan besar anak itu akan memberontak seperti mengurung diri di dalam bilik untuk tempoh waktu tertentu. Ini adalah kerana kesan tindak balas psikologi yang mendalam.
Dan dalam kes insiden di luar stadium Sultan Mohamed IV itu, janji untuk membawa pasukan Kelantan ke Old Trafford mungkin telah 'memakan diri' sendiri. Biarpun tidak dinafikan pihak yang membuat janji itu berniat baik.
Janji boleh menaikkan motivasi. Janji juga boleh membawa kesan negatif dan mungkin apa yang berlaku di Kota Bharu itu adalah kesan daripada janji yang keterlaluan. Jadi, hati-hatilah jika berjanji memberikan ganjaran terhadap sesuatu kejayaan.
Saya mohon jasa baik pembaca sekalian untuk memberikan pandangan ikhlas.
2 comments:
salam bro
x dinafikan insiden 7 april mmg diluar jangkaan
tapi janji untuk membawa pasukan Kelantan ke Old Trafford mungkin telah 'memakan diri' sendiri sy tak begitu sokong sebab itu bukan alasan yg begitu konkrit untuk dikaitkan dengan rusuhan di kb.
sbb yg dijanjikan hanya untuk pemain dan bukan penyokong.
utk apa penyokong yang terlalu taksub dengan janji yang tidak ditawarkn untuk mereka?
apa yang terjadi hanya dikalangan segelintir penonton dan bukan semua
Mungkin betul jugak bukan sebab janji, ada faktor lain yg lebih dominan.
Tapi sikit byk janji tu ada kesan jg. Sebab kereta pengerusi KAFA pun kena jugak dengar kata.
Post a Comment