Friday, November 22, 2013

Menangguhkan Belanja Duit Simpanan

Biasanya mempunyai sasaran untuk membelikan sesuatu barang yang kosnya melebihi jumlah tunai yang kita ada menjadi pendorong untuk kita membuat simpanan atau tabungan dengan harapan bila amaunnya cukup nanti akan digunakan untuk membeli barangan yang diidam-idamkan.

Demikian yang dilakukan oleh orang yang bijak menguruskan ekonomi peribadi yang lebih memilih untuk membelikan barangan secara tunai berbanding dengan cara berhutang. Usaha sebegini memerlukan disiplin dan kesabaran diri.

Umpamanya untuk membelikan sebuah motosikal yang berharga RM5000.00. Cara paling mudah ialah dengan membeli secara ansuran. Ya mudah tetapi kos keseluruhan pasti lebih daripada harga sebenar. Adalah lebih menguntungkan jika disimpan katakan sebanyak RM250 sebulan.

Dalam masa 20 bulan iaitu setahun lapan bulan akan genap RM5000. Pada masa jumlah tersebut sudah ada dalam simpanan, kita boleh terus pergi ke kedai dan membuat urusan pembelian pada bila-bila masa.

Tetapi menurut rakan saya yang berpengalaman dalam menguruskan ekonomi peribadi, adalah lebih baik jika kita menangguhkan dahulu pembelian tersebut. Sebaik-baiknya untuk tempoh setahun kerana dalam tempoh tersebut ia memberikan peluang kepada kita membuat keputusan dengan lebih tenang tanpa dipengaruhi oleh nafsu yang sememangnya sangat teruja untuk segera berbelanja.

Penangguhan tersebut boleh menjadi penyelamat kepada situasi terdesak atau kecemasan yang mungkin tanpa diduga akan menimpa kita. Yang lebih penting ia mendidik kita menjadi lebih sabar dan berdisiplin dalam tabiat berbelanja dan mematangkan diri kita dalam mengamalkan tabiat menyimpan itu sendiri.

Amalan ini kelak akan menjadikan tabiat dan sikap yang sebati dalam diri kita yang akhirnya menjadikan kita orang yang bebas daripada masalah kewangan pada masa akan datang.


Tuesday, January 17, 2012

Nyalakan Cita

Nyalakan unggun cita

dengan obor imaginasi minda

bahangnya melonjak getar

membara keinginan

meronta dalam diri

semangat dan usaha

mendesak jiwa

keluar meneroka

merentas garis-garis selesa

daerah yang sering memerangkap

diri yang sudah meraih

secangkir jaya

bara keinginan harus terus diuja

agar bisa dan upaya

mencabar diri

menggapai tahap

kejayaan

yang luar biasa

Monday, August 8, 2011

Rancang Apa Hendak Dibuat

Sering kita tidak dapat menyelesaikan atau membereskan perkara yang kita hendak buat. Bukan kita duduk saja. Kita sibuk tetapi ada saja yang tak sempat hendak dilaksanakan. Kadang-kadang kita rasa sedikit kesal ada perkara yang patut disiapkan pada hari semalam tertangguh lagi. Kenapa?

Itu tandanya hidup kita tiada perancangan. Merancang tidaklah susah sangat. Sebut saja pasal merancang ada orang yang takut atau fobia kerana tak dapat ikut rancangan yang telah dibuat. Itu perkara biasa. Itu normal. Yang penting ada perancangan lebih baik daripada tiada.

Ya, merancang lebih baik daripada tidak merancang. Cara mudah ialah mulakan pagi dengan memikirkan apa yang hendak dan perlu dibuat. Jangan terus buat kerja. Bagi ruang untuk berfikir sejenak. Senaraikan apa yang perlu dibuat.

Langkah kedua susun perkara-perkara yang disenaraikan mengikut keutamaan atau kepentingan. Yang mana perlu dilakukan dulu dan yang mana boleh dibuat kemudian. Dahulukan yang dahulu dan kemudiankan yang kemudian.


Sunday, August 7, 2011

Lakukan Yang Penting Dahulu

Dalam kesibukan kita melakukan rutin harian, banyak perkara yang membuatkan kita sibuk sehingga ada yang tidak sempat diselesaikan.

Sekarang bertenang sekejap dan renung dan tanya diri kita apakah yang hendak kita capai dalam hidup kita? Apakah matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang kita.

Dengan merujuk pada matlamat kita akan tahu apakah perkara yang tidak atau kurang berkaitan matlamat. Mungkin kita telah terleka melakukan perkara yang kita rasa penting tetapi sebenarnya tidak ada kena mengena dengan matlamat dan wawasan kita.

Perkara yang penting adalah yang berkaitan dengan matlamat dan wawasan kita. Selain itu ia kurang atau tidak penting.

Justeru untuk berjaya lakukan yang penting dahulu.

Sunday, July 31, 2011

Kesilapan Punca Tewas Kepada Singapura

Rata-rata peminat bola sepak negara berbangga dengan sumbangan Datuk K. Raja Gopal terhadap pencapaian cemerlang skuad kebangsaan dalam masa yang singkat. Tidak dinafikan juga usaha Raja Gopal telah mencetuskan perubahan besar dalam arena bola sepak negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

Berdasarkan sambutan peminat yang amat mengagumkan, terbukti hasil usaha Raja Gopal turut merubah paradigma rakyat tempatan terhadap kualiti dan masa depan pasukan bola sepak kebangsaan. Sudah pasti ia menjadi pencapaian lalu tercatat sebagai simbol kecemerlangan dan akan dikenang.

Namun kegagalan pasukan bola sepak kebangsaan untuk mara ke peringkat seterusnya dalam kelayakan Pra Piala Dunia 2014 sekali gus untuk mencipta sejarah lebih bermakna masih lagi dirasai oleh jutaan peminat bola sepak negara.

Tidak keterlaluan jika kegagalan itu disifatkan sebagai satu 'tragedi' yang memilukan kerana ditewaskan oleh Singapura - pasukan yang di atas kertas mempunyai kekuatan seimbang dengan skuad negara. Tetapi skuad negara mempunyai beberapa kelebihan tambahan seperti moral dan imej selaku jaguh Asia Tenggara.

Apa pun alasannya, skuad kebangsaan telah mensia-siakan peluang yang sedia terhidang untuk kita mencipta satu lagi sejarah. Menyalahkan mana-mana pihak bukanlah suatu cara yang bijak. Sebaliknya kita perlu mencari apakah sebab-sebabnya? Di manakah atau apakah silapnya?

Sebab yang jelas dilihat terhadap kekalahan kepada Singapura ialah kelemahan pertahanan pasukan kebangsaan dan prestasi keseluruhan pasukan kurang mantap.

Sebenarnya jika kita perhatikan semula, kerapuhan benteng pasukan kebangsaan jelas dapat dilihat sejak perlawanan pusingan pertama dengan pasukan Taiwan. Lebih-lebih lagi pada perlawan kedua.

Seterusnya dua perlawanan persahabatan bertemu Arsenal dan Liverpool menyaksikan bukti yang lebih nyata. Memang tidak adil untuk membanding skuad kebangsaan dengan kedua-dua pasukan bertaraf dunia itu. Tetapi ia setidak-tidaknya memberikan gambaran lebih jelas lagi tahap kerapuhan pertahanan kita.

Memang bukan pertahanan sahaja yang menjadi sebabnya kerana bola sepak adalah permainan berpasukan. Terdapat juga kelemahan pada bahagian-bahagian lain yang turut merumuskan prestasi keseluruhan pasukan. Tidak hairanlah jurulatih pasukan Taiwan telah menyifatkan bahawa pasukan Singapura lebih mantap berbanding Malaysia.

Tetapi sayang kita seolah-olah tidak mengambil pengajaran daripada segala petunjuk dan amaran awal. Sewajarnya kita berterima kasih kepada jurulatih Taiwan yang membuat kenyataan secara jujur itu dengan mengambilnya sebagai suatu teguran yang positif. Tetapi kita nampaknya lebih suka menjaga status-quo dengan ego kita sebagai pasukan yang telah menyingkirkan Taiwan dan selaku jaguh Asia Tenggara.

Itu satu kesilapan. Dan kesilapan lebih besar ialah kita tetap tidak berganjak menyenaraikan barisan yang sama terutama bahagian pertahanan biarpun isyarat sudah jelas untuk dibuat perubahan. Ketika itu adalah wajar sekali untuk kita memikirkan tentang khidmat pemain-pemain senior bagi memperkemaskan barisan pertahanan.

Perancangan memperkemaskan bahagian pertahanan pasukan kebangsaan dengan pemain senior tidak sepatutnya bergantung pada persembahan mereka dalam perlawanan persahabatan menentang Chelsea, malah perlu dilakukan lebih awal dari itu kerana kita mempunyai banyak pemain-pemain pertahanan yang baik daripada pelbagai pasukan Liga Super dan Liga Perdana.

Tetapi kita masih lagi berkeras untuk menggunakan khidmat pemain yang sama. Lebih tidak wajar kita menggunakan khidmat beberapa pemain yang mempunyai dua komitmen serentak iaitu untuk pasukan kebangsaan dan olimpik. Padahal secara psikologi komitmen yang berganda ini turut menjejaskan tumpuan mereka.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Tan Sri Anuar Musa, Timbalan Presiden FAM yang menyatakan bahawa pemilihan pemain sepatutnya dibuat berdasarkan merit, bukan mengikut projek.

Pandangan beliau ada benarnya kerana tujuan pasukan projek ialah untuk mencapai hasil pada masa akan datang. Tetapi kelayakan Pra Piala Dunia 2014 adalah hasil yang perlu kita capai sekarang. Justeru amat wajar sekali kita menurunkan pasukan yang benar-benar mantap dengan pemilihan pemain-pemain terbaik dan digabungkan antara pemain muda dan senior.

Seperkara lagi, persaingan Liga Malaysia yang telah dijadualkan dengan padat untuk ditamatkan lebih awal bagi memberikan ruang kepada pembentukan sebuah pasukan kebangsaan yang mantap tetapi gagal dimanfaatkan atau digunakan sebaiknya. Walhal pada ketika itu kita sudah mempunyai maklumat tentang pemain-pemain yang boleh memperkuatkan skuad kebangsaan.

Tetapi kebanyakan mereka hanya sekadar dipanggil. Ada yang disenaraikan tetapi sekadar mengemaskan bangku pemain simpanan. Prestasi mereka seolah-olah tidak setanding dengan pemain-pemain muda (projek) yang telah berjaya merangkul dua kejayaan lalu.

Saya percaya semua mengakui bahawa Raja Gopal adalah antara jurulatih bola sepak negara yang terbaik. Tetapi kita perlu sedar jurulatih terkenal yang membimbing pasukan bertaraf dunia pun melakukan kesilapan.

Dalam hal ini kita telah melakukan kesilapan besar dengan masih mempertaruhkan barisan yang muda yang nyata kurang mantap untuk bersaing di peringkat lebih tinggi sedangkan pelbagai petanda, teguran, kritikan telah disampaikan. Kita juga memikulkan sebahagian mereka dengan beban yang berat.

Kita perlu ingat sewaktu menjuarai sukan SEA dan piala AFF Suzuki lalu, semua pemain dalam satu pasukan hanya mempunyai satu fokus - satu kejohanan. Tetapi berbeza untu kali ini, terdapat beberapa pemain penting terlibat dengan dua pasukan. Sedangkan kita sedia maklum, untuk berjaya kita perlu betul-betul fokus. Fikirkan.

Walau bagaimanapun kita masih ada berita baik - kesilapan hari ini jika dipelajari dan diperbaiki akan menghasilkan kejayaan untuk hari depan. Itupun jika kita ambil pengajaran dan perbaiki kesilapan.

Walau apapun alasannya, kita telah terlepas peluang yang sedia terhidang. Kita tewas bukan kita bukan tidak kuat tetapi kita silap.

Namun kesilapan sedemikian adalah terlalu besar dan tinggi harganya untuk kita biarkan begitu sahaja. Ia menuntut 'bayaran' yang lebih tinggi.





.

Saturday, July 30, 2011

Sesekali Ingin Aku Pulang

Sesekali ingin juga rasanya
Pulang ke kampung halaman
Menjenguk keluarga yang sering mengundang rindu
Melenyap kusut fikiran
Dengan lingkaran tugas harian

Sesekali ingin aku pulang
Menghalau bosan yang bersarang
Di ruang rasa
Ketika setiap kali melewati
Sudut-sudut kota raya ini

Sesekali ingin aku pulang seketika
Menatap pusara saudara mara
Mencabut rerumput liar dan lelalang
Yang menyemak kuburan nenek moyang

Thursday, July 28, 2011

Risau Akan Kekurangan

Terlalu memikirkan akan kekurangan diri boleh membuatkan kita menjadi risau. Juga boleh membuatkan kita hilang keyakinan diri, tidak menentu dan rasa serba tak kena.

Jangan bimbang. Setiap orang dijadikan Tuhan dengan memiliki kelemahan. Tetapi setiap orang juga diberikan Tuhan kelebihan. Nyata pada diri manusia itu dijadikan dengan ada kelemahan dan ada kelebihan.

Keasyikan kita memikirkan sesuatu perkara boleh membuatkan kita terlupa akan perkara lain. Nama lagi asyik. Begitu juga terlalu asyik memikir dan melihat akan kekurangan diri boleh membuatkan kita lupa akan kelebihan yang kita ada.

Memikirkan kekurangan memang baik dalam membuat muhasabah diri. Muhasabah boleh membangkitkan kesedaran dan keinsafan. Orang yang berjaya sentiasa berazam untuk memperbaiki kelemahan diri. Kelemahan bukan sekadar untuk dirisaukan sahaja.

Kesedaran dan keinsafan yang disertakan azam untuk memperbaikinya akan membangkitkan semangat dan kekuatan diri untuk berusaha menjadi lebih baik. Pasti ada cara untuk memperbaiki dan mengatasi kelemahan.

Kita perlu mengakui kelemahan diri. Itu adalah realiti. Tetapi orang yang berjaya tidak hanya memikirkan kelemahan (untuk memperbaiki). Orang yang berjaya lebih memikirkan pada kelebihan.

Kita perlu fikirkan pada kelebihan yang kita ada. Ramai yang masih keliru dan tidak jelas apakah kelebihan diri mereka. Untuk melihat kelebihan diri, renunglah pada masa lalu. Apakah kejayaan-kejayaan yang telah kita capai.

Biarpun kejayaan itu nampak kecil. Sebagai contoh kita pernah membantu seseorang bertanyakan tentang jalan menuju ke sesuatu tempat. Selepas mendapat panduan daripada kita, orang yang bertanya itu dapat sampai ke tempat yang dituju hasil bantuan kita. Nah itu adalah kejayaan.

Kejayaan itu menunjukkan seseorang mempunyai kelebihan dari segi kebolehan berkomunikasi, sifat ingin menolong, dan perasaan puas jika orang yang ditolong itu mendapat apa yang diperlukan. Itu adalah kelebihan diri seseorang. Dan kalau kita renung lagi, banyak lagi kelebihan diri kita yang dapat kita ketahui.

Seterusnya kita perlu fikirkan bagaimana untuk mengembangkan kelebihan-kelebihan yang kita ada. Seperti contoh tadi, orang yang ada kebolehan berkomunikasi boleh melakukan beberapa kerja yang memerlukan kemahiran berkomunikasi. Contohnya menjadi jurujual.

Banyak lagi kelebihan yang boleh diaplikasikan (diguna pakai) dalam realiti kehidupan. Banyak peluang yang sepadan dengan kelebihan diri seseorang. Kerana manusia dijadikan unik - tidak sama seorang dengan seorang yang lain.

Justeru jangan terlalu memikirkan kekurangan sehingga kita menjadi risau akan diri sendiri. Fikirkan akan kelebihan diri, berusaha mencari peluang yang sesuai. Kerisauan akan hilang diganti dengan kejayaan.