Thursday, January 29, 2009

Hidup Di Bawah Kemampuan

Tabiat TIDAK BAIK ialah berbelanja di luar kemampuan kita. Maknanya jumlah perbelanjaan kita melebihi pendapatan bulanan kita.

Katakan gaji atau pendapatan kita 1000 ringgit sebulan, tapi kita berbelanja 1001 atau lebih sebulan. Itu yang dimaksudkan dengan berbelanja di luar kemampuan kita.

Berbelanja mengikut atau dalam lingkungan kemampuan kita adalah tabiat BAIK. Mungkin daripada pendapatan 1000 ringgit sebulan, perbelanjaan kita mengikut kemampuan bermaksud kita dapat mengelakkan diri daripada berhutang dalam memenuhi keperluan hidup kita.

Jika kita hidup tanpa hutang, kita sudah memiliki ciri-ciri orang yang bahagia. Jadi jika saudara/saudari seorang yang tidak berhutang, maka tahniah saya ucapkan.

Kalau tadi berbelanja ikut kemampuan adalah tabiat BAIK, maka satu lagi tabiat yang LEBIH BAIK ialah hidup di bawah kemampuan.

Tabiat ketiga inilah yang sukar dilakukan oleh kebanyakan orang. Tetapi ia diamalkan oleh kebanyakan orang yang luar biasa seperti jutawan.

Hidup di bawah kemampuan ialah berbelanja di bawah tahap yang kita mampu. Katakan kita mempunyai wang 1000 ringgit dan kita memerlukan sebuah telefon bimbit. Katakan terdapat telefon A dan B yang mempunyai semua ciri-ciri yang diperlukan. Telefon A berharga 700 ringgit, manakala telefon B pula berharga 950 ringgit. Cuma telefon B lebih cantik sedikit.

Dari segi kemampuan, kita tidak ada masalah untuk memilih telefon B. Tetapi bagi orang yang mengamalkan tabiat hidup di bawah kemampuan, ia akan memilih untuk membeli telefon A.

Dengan membeli telefon A, ia dapat semua ciri yang diperlukan dan dapat menjimatkan sebahagian daripada wangnya untuk tujuan lain pula.

Jadi kalau orang lain lihat, orang beranggapan seolah-olah dia tidak mampu membeli telefon B, pada hal yang sebenarnya dia lebih suka mengutamakan penjimatan wang dengan cara mengamalkan cara hidup berbelanja di bawah kemampuan.

Di sini suka saya nyatakan bahawa berbelanja atau hidup di bawah kemampuan merupakan ciri-ciri asas yang ada pada seseorang yang bergelar jutawan.

Harap tips ini dapat mendorong saudara/saudari pembaca untuk terus hidup berjimat-cermat.

No comments: