Salam bahagia buat saudara/saudari pembaca yang dikasihi sekalian.
Terlebih dahulu ingin saya ucapkan Selamat Menempuh bulan kedua 2009. Semoga hari-hari kita semua bertambah baik dan bermakna.
Kali ini saya ingin berbicara mengenai pentingnya kita menyimpan. Kalau sebelum ini kita telah berbicara pasal berjimat-cermat. Maka mari pula kita sentuh sedikit pasal menyimpan.
Sebenarnya menyimpan sebahagian daripada pendapatan kita merupakan amalan berjimat-cermat yang paling berkesan.
Banyak kebaikan yang akan diperoleh jika kita amalkan menyimpan secara berterusan. Orang yang menyimpan merupakan orang yang memikirkan bukan untuk hari ini sahaja, malah sedar tentang keperluan untuk masa hadapan.
Kita perlu ada wawasan - baik kecil atau besar. Antara wawasan yang perlu kita tetapkan ialah ingin hidup lebih senang pada masa akan datang berbanding hidup kita pada hari ini. Dalam aspek kewangan, senang yang dimaksudkan ialah bebas daripada masalah kewangan yang sering dialami oleh kebanyakan orang.
Jika kita ingin berjalan jauh atau bermusafir, biasanya kita akan membawa bekal. Bekal yang cukup akan menjadikan hati kita tenang dan yakin untuk mengharungi perjalanan. Kita akan memikirkan bermacam-macam cara supaya bekalan kita cukup. Umpamanya kalau kita bermusafir dengan kenderaan berenjin, kita akan pastikan minyak diisi secukupnya, bekalan minuman dan juga makanan akan kita bawa secukupnya.
Itu kalau kita bermusafir yang kita sudah boleh agak jarak dan tahap kesukarannya - namun kita tetap berbekal setiap kali hendak memulakan perjalanan.
Adakah kita memikirkan tentang bekalan untuk perjalanan masa hadapan kita untuk tempoh satu tahun, dua, dan seterusnya?
Atau dengan soalan lain, adakah kita sudah menyimpan sebahagian daripada pendapatan kita untuk bekalan perbelanjaan hidup hari depan kita yang pastinya semakin mencabar?
Jika saudara/saudari telah melakukannya, maka syabas saya ucapkan dan teruskan usaha dan amalan demikian.
Jika sebaliknya pula, maka kita sedang mencipta masa depan yang hampir sama atau lebih teruk daripada hari ini.
Ramai orang sedar betapa pentingnya menyimpan. Tapi ramai pula yang kurang faham apa yang dikatakan dengan menyimpan berterusan.
Bermacam-macam persoalan datang bila memikirkan untuk menyimpan. Antaranya ialah:
1. Bila patut mula menyimpan?
2. Berapa banyak daripada pendapatan yang perlu disimpan?
3. Pendapatan yang sebanyak mana yang dikira layak menyimpan?
4. Adakah menyimpan boleh dilakukan oleh setiap orang?
5. Atau adakah menyimpan hanya boleh dilakukan oleh orang yang berpendapatan lebih sahaja?
Dan bermacam-macam lagi persoalan.
Jadi untuk mengetahui jawapan terhadap segala persoalan di atas, maka sudilah untuk meneruskan bicara pada kali berikutnya nanti.
No comments:
Post a Comment