Kali ini mari kita bercerita bagaimana nak jimatkan belanja dengan cara Menghukum Diri Atas Kesilapan Berbelanja.
Bunyinya agak janggal sikit kan? Tapi tak apa, mari terus bercerita.
Kita sering atau setidak-tidak pun pernah membuat kesilapan dalam berbelanja. Kesilapan macam mana? Ya kesilapan membeli sesuatu barangan yang selepas itu kita rasa tidak puas hati. Katakan kita beli sehelai baju-T berharga sederhana mahal - sekitar 70 ringgit contohnya.
Selepas beli kita rasa tak puas hati mungkin kerana warna tak berapa sesuai dengan warna kegemaran, kain bukan cotton, atau tersilap pilih baju-T yang tak ada kolar. Pendek kata kita rasa tak puas hati selepas beli barangan dan rasa rugi duit habis kat situ. Kita rasa 70 ringgit melayang begitu saja.
Biasanya kesilapan sebegini boleh berlaku atas beberapa sebab. Antaranya ialah membuat keputusan secara tergesa-gesa, tidak berkira sangat semasa membeli sebab ada duit lebih dan pelbagai sebab lagi.
Jadi apa perlu kita buat? Simpan baju tersebut atau pakai saja sambil tak henti merungut-rungut. Ya sebaik-baiknya gunakan saja ia sebab kita dah beli.
Tapi lebih penting daripada itu ialah kita kena buat sesuatu supaya kesilapan sedemikian tidak akan berulang lagi. Lebih baik lagi jika kita dapat tebus-ganti balik duit yang 'terbang' tadi.
Ya, elok juga kalau dapat balik duit tadi. Tapi bagaimana?
Macam ini - oleh kerana kita dah buat kesilapan, sebagai pengajaran dan untuk menebus balik duit yang terbang tu kita mesti Hukum atau Denda diri kita sendiri.
Katakan kita selalunya beli baju baru dua pasang setahun (hidup berjimat). Tapi oleh kerana kita dah buat silap beli baju-T tadi maka kita patut hukum diri dengan tidak membeli baju satu pasang lagi sehingga tahun depan. Sebaliknya mahu-tidak mahu paksa diri pakai baju yang telah dibeli itu.
Jadi dengan berbuat demikian, kita dapat selamatkan duit untuk baju satu lagi dengan andaian untuk 'cover' balik duit belian baju-T tersebut.
Dengan itu kita akan lebih sentiasa ingat dan berhati-hati untuk tidak melakukan kesilapan berbelanja kerana jika silap diri kita akan dihukum (oleh diri kita sendiri) lagi.
Sebaliknya kalau kita biarkan kesilapan itu atau maafkan begitu saja dan kita terus beli baju lain, maka kita akan jadi lebih boros.
Semoga tips ini dapat memberi manfaat buat kita semua.
Hidup jimat bawa berkat.
No comments:
Post a Comment