Saudara/saudari pembaca yang dihormati sekalian. Kali ini saya cuba kongsikan bagaimana kaedah Mengecilkan Baki Akaun Simpanan Bank dapat menjimatkan perbelanjaan kita.
Apabila kita mengeluarkan wang daripada mesin ATM, tiga benda yang kita akan dapat. Pertama kad ATM, keduanya wang yang dikeluarkan, dan akhir sekali ialah slip transaksi yang mencatatkan baki terakhir akaun simpanan kita.
Kita pasti tersenyum bila memegang duit dan dah bayangkan apa yang hendak dibeli. Tapi senyum kita akan susut sikit bila melihat baki pada slip yang semakin mengurang. Lebar atau tidak senyuman kita adalah bergantung pada amaun baki tersebut.
Kalau baki masih banyak, kita rasa senang hati dan boleh berangan lagi apa yang hendak dibelikan nanti. Kita pasti akan segera datang melawat mesin ATM itu sebaik sahaja wang yang kita keluarkan tadi hampir habis.
Dan kalau baki pada slip tadi agak sedikit, maka kita pun kurang seronok dan tak berapa nak berangan apa yang nak dibelikan. Memang gitulah biasanya.
Sebab itu majoriti orang berbelanja pada awal bulan atau pada masa baru-baru dapat gaji. Lepas cucuk, cucuk. Sebab apa? Tentulah sebab pada awal-awal baki pada slip masih 'gagah'.
Tapi makin ke hujung bulan, baki berkurangan hingga ke tahap hampir-hampir tak cukup nak tunggu gaji baru. Haa, pada masa itulah biasanya kita nak mula beringat, cucuk ATM pun berpada-pada.
Itulah sebenarnya kesan daripada baki yang tercatat pada slip ATM.
Jadi apa harus kita buat untuk mengatasi tabiat berbelanja ikut pada baki semasa yang ada?
Baik, oleh kerana kita sudah tahu baki yang sedikit akan membuatkan kita lebih berhati-hati untuk mengeluarkan duit di ATM dan seterusnya mengawal kita berbelanja, maka mari saya terangkan sedikit bagaimana kaedah untuk mengecilkan bagi pada slip ATM.
Untuk itu saya akan ceritakan apa yang saya praktikkan.
Saya ada beberapa akaun bank yang kerap dan jarang digunakan. Saya ada akaun Bank Islam (BIMB) sebagai akaun gaji. Saya ada akaun Maybank sebagai cara bayaran online bil-bil utiliti. Akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk hantar duit kepada keluarga di kampung. CIMB sebagai mempelbagaikan saluran pengeluaran.
Dengan ada lebih daripada tiga akaun bank, apa yang saya buat untuk mengecilkan baki ATM ialah dengan mengeluarkan duit gaji dan memasukkan ke dalam beberapa bank tadi. Jadi daripada wang gaji Bank Islam, saya keluarkan dan masukkan ke dalam Maybank, BSN, dan CIMB.
Katakan duit gaji saya di dalam BIMB sebanyak 1000 ringgit. Dan bila saya keluarkan melalui ATM 100 ringgit, saya akan lihat baki masih ada 900 ringgit.
Tapi kalau seribu ringgit tadi saya agihkan kepada Maybank 200 ringgit, CIMB 200 ringgit, BSN 200 ringgit, jadi baki dalam BIMB sudah tinggal 400 ringgit.
Dan kalau sebelum agihan tadi saya keluarkan 100, baki masih 900 maka saya akan rasa duit saya masih banyak dan kurang berhati-hati dalam berbelanja untuk bulan berkenaan.
Tetapi selepas agihan dengan baki yang tinggal dalam BIMB sebanyak 400 ringgit dan seterusnya saya keluarkan 100, maka baki sudah 300.
Sungguhpun saya tahu duit saya masih ada lagi di dalam akaun bank-bank lain yang diagihkan tadi, tapi SECARA PSIKOLOGInya saya akan rasa duit saya sudah tidak banyak dan lebih berhati-hati dalam berbelanja.
Jadi ingatlah baki terakhir yang tercatat pada slip transaksi pengeluaran melalui ATM sebenarnya mempunyai pengaruh terhadap corak perbelanjaan semasa sesorang. Dari itu dengan mengecilkan baki semasa dapat mengubah tabiat perbelanjaan sesorang.
Itulah antara cara yang saya amalkan dalam memastikan perbelanjaan harian saya terkawal dan menjimatkan.
Semoga tips ini dapat memberi manfaat kepada saudara/saudari pembaca yang saya kasihi sekalian.
No comments:
Post a Comment