Sunday, February 15, 2009

Bagaimana Nak Elak Dari Berhutang

1. Satu daripada elemen penting untuk hidup bahagia ialah bebas daripada hutang. Lebih tepat lagi bebas daripada terpaksa berhutang.

2. Ramai orang suka berhutang. Masih ramai juga yang tidak suka berhutang tetapi terpaksa berhutang.

3. Bagi yang terpaksa, suka atau tidak, kena juga berhutang sebab katanya keperluan mendesak. Siapa yang sebenarnya memaksa kita berhutang? Siapa yang sebenarnya menjadikan kita terdesak?

4. Hidup adalah kebebasan (mempunyai batasan). Tiada siapa yang dapat memaksa kita. Yang memaksa kita berhutang ialah bukan orang lain, tapi DIRI KITA SENDIRI.

5. Jadi, bolehkah kita mengelak daripada berhutang? Macam mana?

6. Pertama sekali kalau kita berada dalam kategori orang yang terpaksa berhutang, kita perlu ada niat dan keazaman yang tinggi untuk ke arah itu - ke arah hidup tanpa berhutang.

7. Kedua, jangan kita harapkan situasi kita akan berubah serta-merta - daripada hutang yang banyak pada hari ini, tiba-tiba esok nak jadi orang yang bebas daripada hutang. Tidak bolehlah begitu! Kita kenalah realistik. Yang penting mulai pada hari ini kita sedang ke arah hidup yang bebas daripada hutang (yang terpaksa).

8. Seterusnya, kita bersabarlah selesaikan hutang yang ada. Pada masa yang sama ELAKKAN daripada MENCIPTA HUTANG BAHARU.

9. Yang paling penting kita MESTI BERUBAH daripada keadaan sekarang kepada keadaan baharu.

10. Kita mesti hidup berjimat-cermat. Memang hidup berjimat-cermat bukan cara hidup yang seronok kerana banyak keinginan terpaksa kita tahan, terpaksa kita korbankan. Tapi ingatkah pesan orang tua kita dulu: Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

11. Kalaupun kita tak sempat menikmati senang kerana usaha kita mengambil masa yang lama, namun disebabkan kesabaran kita hidup berjimat-cermat, kelak sekurang-kurang anak-anak cucu kita akan mendapat manfaatnya.

No comments: