Satu kaedah untuk menjimatkan perbelanjaan ialah mengawal perbelanjaan sewaktu terima gaji. Kerana masa sekitar seminggu itulah banyak dugaan dan pengaruh yang menarik seseorang untuk berbelanja.
Melengah-lengahkan berbelanja biarpun gaji sudah masuk adalah satu cara yang dapat menyelamatkan kita daripada kehabisan wang setiap kali hujung bulan.
Jadi, sebaik-baiknya kawal diri agar tidak berbelanja pada masa baru-baru dapat gaji. Biarkan gaji kita tidak terusik sekurang-kurang seminggu. Lagi lama lagi baik. Bergantung kepada wang gaji terdahulu yang ada di tangan kita hasil daripada usaha jimat cermat.
Biasanya sewaktu hujung bulan sudah hampir ramai yang tak sabar-sabar tunggu gaji bulan ini masuk. Lepas itu bolehlah tunaikan segala keperluan. Bayar bil-bil, barang keperluan dapur, rumah sewa dan lain-lain.
Pada masa gaji juga peniaga-peniaga memperagakan dan mempromosikan barangan mereka. Para peniaga memang cukup faham ragam pengguna. Masa banyak duit senang sahaja berbelanja. Jadi masa inilah nak jual macam-macam produk.
Malangnya ramai yang terpengaruh dengan suasana. Lalu mereka tanpa sedar turut sama memeriahkan suasana. Kalau belikan barangan yang betul-betul diperlukan tak mengapa. Tapi yang biasa terjadi, banyak yang dibeli bukannya keperluan.
Ramai yang membeli disebabkan faktor pengaruh. Bila duit ada banyak di tangan maka sukarlah kita mengawal keinginan.
Sebab itu kebanyakan kita tidak kesudahan mengulang 'skrip' yang sama - hujung bulan tak sabar-sabar tunggu gaji kerana duit gaji bulan lepas 'dah kering'.
Sekiranya kita nak hidup senang, janganlah ikut cara orang ramai yang suka berbelanja masa dapat gaji. Kita perlu ambil sikap sabar lihat biar orang lain sibuk berbelanja.
Lepas suasana di pasar-pasar dan pasaraya sudah lengang, baru kita ambil giliran kita. Untungnya berbelanja di luar musim gaji. Ada barang-barang yang sudah turun harga, biarpun sedikit.
Kalau kita terlebih belanja katakan, jangka masa untuk menunggu gaji berikutnya tidaklah lama sangat. Banyak lagi faedah sekiranya kita dapat disiplinkan diri kita supaya tidak berbelanja pada musim orang ramai sibuk berbelanja.
No comments:
Post a Comment