Wednesday, February 11, 2009

Tip Jimat Belanja - Kecilkan Amaun Pengeluaran Wang

Hidup kita pada zaman moden ini banyak bergantung kepada bank dan ATM. Kita rasa selamat simpan duit di dalam bank. Kita akan keluarkan duit bila rasa perlu untuk berbelanja. Biasanya melalui ATM.

Bila duit habis saja di tangan kita, kita akan terus ke ATM untuk keluarkan duit. Lagi kerap kita keluarkan duit, maka lagi laju pula kita berbelanja. Tapi bila susah nak keluarkan duit daripada ATM dan duit di tangan pula habis, kita boleh pula tahan keinginan untuk berbelanja.

Saya percaya ramai antara kita mengalami masalah kehabisan duit di tangan. Bila pergi ke ATM untuk keluar duit, ATM pula rosak atau duit di dalam mesin kehabisan. Tunggu punya tunggu tak dapat-dapat juga. Nak pergi tempat lain jauh pula. Terpaksalah kita tahan dulu hajat nak berbelanja pada hari tu. Aik! boleh pulak?

Cubalah pada masa tunggu tiba-tiba mesin sudah baik (ok) daripada rosak. Cepat-cepat kita keluarkan duit dan terus beli apa yang kita nak beli. Itu bezanya antara duit ada di tangan dengan duit tersimpan di dalam ATM.

Duit tersimpan di dalam bank lebih terkawal dan terjaga berbanding duit ada di tangan kita. Lagi banyak yang ada di tangan, lagi banyak kita akan gunakan untuk berbelanja.

Oleh itu satu cara untuk jimatkan belanja ialah sentiasa biarkan duit tersimpan di dalam bank dan kurangkan atau hadkan seminimum boleh jumlah duit yang ada di tangan kita. Biar kita susah berbelanja dek tak ada duit di tangan daripada susah di hujung bulan kerana belum gaji baru duit sudah kehabisan.

Untuk hadkan jumlah duit yang ada di tangan kita boleh amalkan tips di bawah ini.

Katakan kita kehabisan duit di tangan dan kita perlukan untuk berbelanja bagi tempoh TIGA hari ialah sebanyak seratus ringgit (RM100). Tapi dalam masa tiga hari itu kita tak pasti apa yang nak kita beli. Amaun itu cuma anggaran sahaja. Itu biasanya berlaku pada kebanyakan orang - keluarkan duit sebanyak anggaran yang diperlukan. Jadi kita pun akan keluarkan 100 ringgit.

Oleh kerana minda kita sudah fikirkan perbelanjaan kita untuk tempoh tiga hari ini ialah 100 ringgit, maka kita secara sedar atau tidak akan dengan senang habiskan 100 ringgit yang kita keluarkan tadi.

Katakan sebelum keluarkan 100 ringgit tadi, duit kita ada sebanyak 300 ringgit di dalam bank. Dan selepas keluarkan 100 ringgit bakinya kini sudah tinggal 200 ringgit.

Apa yang perlu kita lakukan untuk menjimatkan perbelanjaan kita ialah kita perlu mengubah sedikit cara pengeluaran duit kita tadi. Bagaimana?

Cara ialah kita jangan keluarkan 100 ringgit walaupun anggaran keperluan kita ialah sebanyak itu. Sebaliknya kita hanya keluarkan amaun yang kurang sedikit daripada 100 ringgit tadi. Katakan kita keluarkan sebanyak 90 ringgit.

Sembilan puluh ringgit sebenarnya tidak jauh beza dengan 100 ringgit dan tidak akan menjejaskan perbelanjaan kita. Tapi apabila kita keluarkan 90 ringgit, baki duit kita di dalam bank bukan lagi 200 ringgit tetapi jumlahnya berlebih sebanyak 10 ringgit iaitu 210 ringgit.

Dengan itu kita sudah dapat jimatkan sebanyak 10 ringgit kerana semasa berbelanja kita dengan sendiri akan menyesuaikan kehendak kita supaya duit 90 ringgit yang ada di tangan kita masih cukup.

Lihat itu baru sekali keluar duit. Jika kaedah ini diulang-ulang setiap kali kita nak keluarkan duit, maka makin banyak kita akan dapat jimatkan. Ingat jika kita berniat nak keluarkan 100, tukar amaunnya jadi 90 atau 80 sahaja.

Jika kita bercadang nak keluarkan 200, ubah amaunnya supaya jadi 180 atau 190. Elakkan daripada keluarkan duit dengan amaun yang genap seperti 100, 200, 300 dan seterusnya.

Saya percaya jika diamalkan, lama kelamaan ia akan menjadi tabiat dan hasilnya kita akan menikmati penjimatan yang sebelum ini mungkin tidak kita terfikirkan.

No comments: