Saudara/Saudari
Terlebih dahulu saya mohon izin untuk bercerita mengenai tajuk yang agak asing sikit - pengalaman baru saya.
Pada awal Januari lalu saya dan rakan sekerja telah mengadakan aktiviti kerja rasmi di Genting Highland. Atas faktor jarak dan kos, pengurusan telah memilih Awana Golf resort sebagai tempat kami melaksanakan aktiviti.
Saya dan tiga rakan lagi bergerak dari pejabat di Putrajaya pada jam lebih kurang 3.45 petang dan tiba di sana lebih kurang jam 5 petang.
Seorang daripada rakan saya memang handal bermain golf. Tidak hairanlah sebaik sahaja mendaftar bilik, dia terus hilang. Tahu-tahu saya nampak dia sudah siap dengan kayu dan sebakul bola golf.
Memandangkan situasi resort ini memang 'mesra golf', jadi saya turut terasa kelainannya berbanding menginap di hotel-hotel lain sebelum ini.
Lalu saya rasa teruja untuk cuba 'join' sekali kawan saya - dengan niat nak teman dia dan bersosial sahaja.
Dia meminta saya mendapatkan sebatang 'kayu golf' daripada stor yang berhampiran dengan tempat berlatih. Pada masa itu seorang pekerja bertugas menjaga peralatan golf di stor tersebut.
Bila lihat banyak jenis kayu golf yang ada - ada yang panjang, pendek, lebar, maka saya rasa serba salah nak minta yang mana satu.
Maklumlah seumur hidup saya, usahkan sentuh, tengok kayu golf dari dekat pun saya tak pernah. Tapi nasib baik petugas sudah dapat mengagak saya ni orang baru sangat dengan 'golf set', lalu dia pun menyuruh saya ambil beberapa batang tanpa perlu memilih yang mana satu.
Lega sebab kalau disuruh pilih, malu saya sebab tak tahu nak ambil yang mana satu.
Itu pasal baru mula nak ambil kayu golf. Belum lagi nak pukul bola.
Bagaimana pula pengalaman saya bila pertama kali memukul bola golf?
Teruskan dengan bicara saya yang seterusnya...
Baik bersambung kembali, balik kepada bagaimana pengalaman saya memukul bola golf.
Sebenarnya saya amat tertarik dengan kawan saya yang boleh dikira sebagai sifu kerana sentiasa dapat hadiah pada hampir setiap perandingan yang disertainya. Saya minat sekali gaya 'golfer' membuat hayunan dan 'finishing' sewaktu memukul bola golf.
Saya pun cuba mengikut gayanya. Nak tahu apa jadi? Beberapa pukulan awal saya ternyata meleset daripada apa yang saya sangka - iaitu pukul bola golf senang sahaja.
Bola pukulan saya ada tak kena langsung, yang kena melencong ke kiri dan juga ke kanan. Yang nak gelak tu ada yang dapat diambil untuk dipukul semula.
Pukul angin dah berapa banyak kali. Tapi lepas itu perlahan-lahan saya dapat memperbaiki sikit pukulan saya.
Itupun setelah sifu bagi tahu supaya jangan fokus kepada gaya. Pada peringkat awal ni cuma perlu fokus bagaimana nak bagi bola kena sahaja.
Setelah hampir habis satu bekas dipukul secara berkongsi-kongsi, saya baru akui main golf adalah bukan satu permainan yang mudah.
Ia perlu latihan berterusan, ada ketika perlu secara intensif, dan yang paling penting perlu berterusan mengekalkan 'rentak seni pukulan' supaya prestasi dapat dijaga.
Itu antara pengalaman yang dapat saya kongsikan bersama saudara pembaca mengenai apa itu golf yang baru saya berkenalan dengannya.
No comments:
Post a Comment