Dalam kehidupan yang makin hari makin mencabar ini, masalah kewangan semakin menghimpit hidup kita. Keperluan harian meningkat. Seiring dengan itu kemahuan dan keinginan juga turut melonjak sehingga kita tidak sedar tidak dapat mengawalnya.
Maka mulalah kita keliru yang mana satu keperluan, yang mana kemahuan dan mana pula keinginan. Ketiga-tiga itu ada bezanya.
Sebut masalah kewangan kita tidak boleh lari daripada membincangkan mengenai pendapatan dan perbelanjaan. Baik untuk individu, rumah tangga, institusi-institusi perniagaan dan lain-lainnya.
Mengikut perkiraan mudah, pendapatan ialah wang masuk manakala perbelanjaan pula ialah wang keluar. Kalau perbelanjaan kita melebihi pendapatan (secara bulanan), ia bermakna wang keluar lebih besar daripada wang masuk. Itu satu masalah besar!
Sebab itu ramai yang merungut kerana mempunyai masalah perbelanjaan melebihi pendapatan atau dengan kata lain TIDAK CUKUP BELANJA. Jalan penyelesaian mudah dan sementara yang menjadi pilihan kebanyakan kita ialah dengan berhutang atau meminjam.
Kalau meminjam daripada saudara-mara atau kawan-kawan itu kira masih baik kerana kita tidak akan dikenakan bayaran tambahan (faedah atau interest). Tetapi kalau terpaksa buat pinjaman daripada institusi kewangan, maka itu sudah tidak baik kerana secara jangka panjang ia tidak dapat menyelesaikan masalah bahkan akan menjadikan situasi masa depan kita lebih buruk.
Sebenarnya jika kita betul-betul faham apakah punca masalah tidak cukup belanja maka kita akan dapat atasinya dengan lebih mudah tanpa membuat pinjaman.
Kaedahnya lebih kurang begini:
1. Buat pengiraan dengan terperinci atau kalau tak mampu pun buat secara kasar mengenai berapakah pendapatan dan perbelanjaan bulanan kita sekarang. Katakan pendapatan kita ialah 1200 ringgit manakala perbelanjaan pula sebanyak 1500 ringgit.
2. Fahami betul-betul masalah kita.
Daripada contoh pengiraan di atas kita dapat lihat lebih jelas berapakah jumlah kita terlebih belanja - sebanyak 300 ringgit. Mungkin sebelum buat pengiraan kita rasa masalah kita agak besar hingga rasa sukar untuk diselesaikan. Maklumlah tak cukup belanja, nak berhutang dengan saudara-mara dan kawan-kawan, kita segan. Nak buat pinjaman bank banyak pula proses dan syarat-syaratnya. Itu yang membuatkan kita pening kepala.
3. Kenal pasti perbelanjaan terhadap perkara yang bukan keperluan
Mungkin kita tidak sedar dalam setiap bulan kita telah menghabiskan sebahagian daripada wang kita untuk perkara-perkara yang bukan keperluan. Maksudnya perkara berkenaan jika kita tidak beli tidak akan menyebabkan keperluan asas kita terjejas.
Jika terdapat perbelanjaan sedemikian, maka apa yang perlu kita buat ialah ubah tabiat berbelanja kita supaya hentikan daripada berbelanja untuk perkara yang bukan keperluan. Dengan itu kita dapat jimatkan atau kurangkan jumlah perbelanjaan.
4. Kurangkan Kuantiti Barangan Keperluan
Setelah menyingkirkan perbelanjaan terhadap perkara yang tidak perlu, maka kita sudah berada dalam situasi lebih baik iaitu berbelanja untuk barangan yang perlu sahaja. Tapi mungkin jumlah perbelanjaan kita masih melebihi jumlah pendapatan. Jadi bagaimana?
Untuk membeli sesuatu barangan, kita lebih cenderung membeli sejumlah yang melebihi daripada keperluan sebenar. Kita tidak boleh elak daripada membeli barangan tertentu. Beli tetap kena beli - tak boleh tidak. Jika begitu apa yang kita boleh lakukan ialah semak mungkin kita boleh kurang kuantiti barangan tersebut.
Bila kita beli kurang ia memaksa kita menggunakannya secara jimat. Inilah yang dikatakan antara ciri-ciri belanja berhemah.
5. Semak dan Ubah Suai
Teruskan membuat semakan terhadap apa yang kita belanjakan. Masih terdapat ruang untuk kita buat penjimatan dengan membuat penyesuaian daripada segi kuantiti yang perlu atau mampu dibeli dan tahap penggunaan kita.
Dengan cara ini lebihan perbelanjaan kita akan dapat di atasi dan jika betul-betul dikaji tidak mustahil kita sebenarnya boleh menyimpan sebahagian daripada pendapatan kita. Mungki dapat menyimpan 10 ringgit sebulan sudah cukup bagus. Bagus bukan sebab sepuluh ringgit tu tapi sebab dapat menyelesaikan masalah kita daripada tidak cukup belanja kepada berjimat dan menyimpan sedikit demi sedikit.
No comments:
Post a Comment