Terlebih dahulu saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada saudara-saudari sekalian kerana sudi meluangkan sedikit masa membaca blog ini.
Sedikit mengenai pengalaman menggunakan kad kredit. Sejak daripada dengar kewujudan kad kredit, saya memang tidak minat atau tidak ada niat nak menggunakan kad kredit. Kerana saya sedar kita manusia apabila diberi kemudahan berhutang akan lebih cenderung untuk menyalahgunakannya.
Pada tahun 2000 saya membeli sebuah kereta melalui pinjaman kenderaan sebuah bank tempatan. Pinjaman saya diluluskan dengan pihak bank menghadiahkan sekeping kad kredit. Setelah dapat kad, saya tidak menggunakannya. Sebaliknya ia disimpan saja di dalam dompet.
Hingga suatu hari kawan saya menunjukkan bagaimana untuk mengisi minyak menggunakan kad kredit. Sejak itu saya sudah mula berjinak-jinak mengguna kad kredit. Tapi untuk isi minyak sahaja.
Kalau sebelum itu saya menggunakan kenderaan secara amat berhemah. Isi minyak bila perlu sahaja. Bila duit kurang, kuranglah bersiar-siar dengan kereta. Tapi dengan kemudahan isi minyak dengan kad kredit, hidup saya sedikit berubah.
Bila rasa nak ke mana-mana sahaja rasa tidak ada halangan. Walaupun duit kurang, isi minyak juga dengan kad kredit dan pergi sahaja ke tempat yang rasa nak pergi.
Sedar tak sedar, bil kad kredit sudah hampir mencecah angka ribu. Nak bayar sekali gus tak mampu. Alhamdulillah saya cepat sedar dan terus mengambil keputusan untuk tidak menggunakan lagi kad kredit.
Saya terus menghantar surat ke bank dan menyerahkan semula kad tersebut kepada bank untuk menamatkan perkhidmatan kad kredit saya.
Pihak bank pula macam berat nak hentikan perkhidmatan tersebut sehingga saya terpaksa berkali-kali memaklumkannya.
Lepas itu saya terus membayar sisa hutang kad kredit secara beransur-ansur. Ada bank lain yang tawarkan kad kredit percuma, tapi saya terus tolak.
Kini hutang kad kredit sudah 'settle' semua dan saya tidak menggunakan sebarang kad kredit. Hidup rasa senang juga. Lagi pun saya bukan orang bisnes, tak perlu pakai kad kredit. Orang bisnes pun kena ingat juga kalau pakai kad kredit perlu berhati-hati. Jangan pakai dengan niat nak hutang, tapi nak mudahkan urus niaga.
Sekarang saya hidup bahagia tanpa kad kredit.
No comments:
Post a Comment