Thursday, March 5, 2009

Orang Melayu Perlu Bantu-Membantu dan Tabah Berniaga

Kita orang Melayu makin tidak punya apa-apa. Segala yang dimiliki semakin hilang kononnya atas nama kesamarataan.

Kita orang Melayu tidak boleh sekat orang bangsa lain berniaga di tempat kita untuk mencari rezeki, nanti dikatakan diskriminasi. Kita berikan ruang mereka memasuki tapak baru kita. Mereka menempel-nempel. Tak lama nanti mereka akan monopoli dan kita pula yang menempel-nempel.

Itulah senario yang sudah sekian lama berlaku di tempat kita, di bandar-bandar, di pekan-pekan, dan di taman-taman perumahan yang baru dibuka.

Kalau kita lihat, banyak bangunan kedai dimiliki oleh bukan Melayu. Untuk berniaga di sana satu cabaran kerana hendak sewa kedai amat sukar. Kadar sewa antara sesema bangsa bukan Melayu lebih rendah daripada yang dikenakan kepada orang Melayu. Itu bukan diskriminasi namanya?

Setiap kali pergi ke bandar baru Bangi, Fasa Satu, saya berasa amat sedih sekali. Dalam sekitar empat atau lima tahun dulu saya lihat ada dua buah kedai runcit berhampiran. Letakknya di bangunan yang sama cuma selang satu kedai sahaja. Satu dimiliki oleh bukan Melayu dan satu lagi oleh orang Melayu.

Pada masa itu kedai runcit Melayu nampak lebih maju dan laris berbanding dengan kedai satu lagi. Logiklah kerana Bangi tu kawasan Melayu, bukan?

Tapi hari ini cuba pergi lihat! Kedai runcit Melayu tadi sudah diganti dengan kedai aksesori kereta bangsa bukan Melayu. Kedai runcit bukan Melayu pun secara automatik lebih maju kerana sudah tidak ada pesaingnya.

Mengapa dan bagaimana hal ini berlaku? Siapa sebenarnya pemilik premis lot kedai yang disewakan kepada kedai aksesori kereta itu?

Sudahlah di kawasan majoriti orang Melayu, kedai itu pun makin maju dengan pelanggan-pelanggan orang Melayu. Seolah-olah mereka turut merayakan penguburan kedai runcit Melayu tadi dengan kelahiran kedai aksesori kereta bukan Melayu. Beginilah sikap kita orang Melayu, tidak sensitif dan peka langsung dengan nasib bangsa sendiri.

Nanti suatu hari nanti tidak mustahil anak cucu kita akan menangis menatap baris-baris Fasa Perlembagaan Negara mengenai Hak dan Keistimewaan orang Melayu kerana mereka sedih nasib Melayu, datuk nenek moyang mereka sudah kehilangan satu-persatu hak mereka.

Nanti anak cucu kita tidak memiliki cuma sekadar mewarisi kehilangan demi kehilangan hak.

Satu cara yang mampu kita lakukan ialah terus berjuang dalam medan perniagaan. Kita bangsa Melayu perlu gigih berniaga. Perbetulkan niat kita bukan untuk menjatuhkan bangsa lain tetapi untuk memajukan dan mengembalikan semula hak bangsa kita.

Kerana amat sukar untuk kita bersaing dengan modal dan pengalaman yang sedikit. Sebab itu fokus kita bukan untuk bersaing tapi untuk memajukan bangsa kita.

Bagi saudara-saudaraku yang mengusahakan perniagaan, saya menyeru agar tabahkan hati dan usaha dengan tekad dan azam membara untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh tanpa jemu tanpa putus asa.

Kerana kita terpaksa tidak boleh bergantung kepada pihak pemerintah lagi. Laungan untuk membantu bangsa sendiri kini seolah hanya satu teori sahaja yang dicanang bagi mempromosi politik dan kepentingan peribadi.

Majulah bangsa dalam berniaga. Bantu dan tolonglah bangsa sendiri kerana hakikatnya bukan peniaga itu sahaja yang kita tolong, bahkan kita sebenarnya menolong masa depan anak cucu kita juga.

No comments: