Wednesday, June 10, 2009

Duit, Duit, Duit

Saudara,

Dua tiga hari lepas saya berkenalan dengan seorang usahawan muda yang telah berjaya. Semasa menunggu kereta saya sedang diservis di sebuah pusat servis kenderaan Toyota, saya duduk keseorangan di luar bilik menunggu untuk ambil angin.

Tiba-tiba datang seorang pemuda berumur 30-an duduk di sebelah saya. Melihat macam ada tanda-tanda kemesraan di wajahnya, saya pun menyapa dia. Dia menjawab sapaan saya dengan sopan dan mula saat itu kami pun berbual.

Mula-mula pasal kereta. Dia baru sahaja beli sebuah kenderaan pacuan empat roda jenama Toyota. Baru saja pakai sudah cukup 1000 km katanya. Sebab itu cepat sangat kena datang buat 'first service'.

Dia meneruskan ceritanya memberitahu dia baru saja menjual keretanya dengan harga lebih daripada RM140k. Tergamam juga saya mendengarnya. Lalu saya berfikir ini bukan orang biasa, biarpun nampak sempoi sahaja.

Dalam perbualan itu, saya sedang meneka. Fikir saya dia ni mungkin seorang peniaga. Tekaan saya tepat. Dia mengusahakan kedai masakan tomyam. Perbualan kami pun mula menyentuh bab perniagaan khususnya perniagaannya.

Dia nampak berminat untuk berkongsi pengalamannya. Mungkin sebab saya menunjukkan minat untuk mengetahui lebih tentang cerita kejayaannya.

Daripada bekerja makan gaji, beliau mengumpul sedikit duit untuk berniaga masakan 'kue tiaw goreng'. Dia memasak sendiri dan menumpang tapak di tempat kawannya berniaga. Memang cukup mencabar pada awalnya.

Bermacam dugaan dihadapi dengan tabah. Berkat ketabahan dan minatnya dalam perniagaan, dari hari ke hari perniagaannya sedikit demi sedikit berkembang.

Semakin lama kami berbual, dia menunjukkan pada saya pendapatan bulanannya. Sudah 5 angka! Syabas! Ucap saya kepadanya.

Saya rasa kagum dengan cerita kejayaan dan peribadinya yang mesra dan ramah. Lalu saya cuba bertanyakan satu soalan penting. Tanya saya, "apakah perkara paling penting untuk seseorang berjaya dalam perniagaan?".

Dia dengan yakin menjawab, bukan modal sebenarnya. Yang paling utama ialah MINAT. Katanya kalau seseorang memulakan perniagaan sebab ada modal, orang itu kemungkinan besar tidak kaya atau tidak dapat menjana keuntungan tetapi asyik mengeluarkan modal sahaja untuk laksanakan perniagaan. Untung rugi mungkin silih berganti. Kalau nasib lebih buruk, terus gulung tikar lah.

Tetapi kalau berdasarkan minat, potensi untuk berjaya sangat tinggi sekali kerana dengan minat seseorang sanggup berusaha bersungguh-sungguh, berkerja keras tanpa rasa penat dan jemu. Dan dengan usahalah perniagaan akan bergerak maju, seterusnya bertambah pendapatan dan keuntungan.

Usaha gigih berterusan sehingga perniagaan sudah stabil, tugas akan jadi semakin mudah kerana dapat menggunakan perkhidmatan pekerja. Pada tahap ini perkara yang penting diterapkan ialah aspek pengurusan perniagaan termasuk bekalan bahan mentah dan pengurusan pekerja.

Demikianlah, seorang pemuda yang telah memberanikan diri meninggalkan kerja makan gaji dengan gaji lebih kurang RM3000 sebulan, sekarang dia sedang menjalani kehidupan yang cukup selesa dengan pendapatan lebih RM20,000 sebulan.

Dia sekarang didatangi oleh duit, duit, dan duit. Namun begitu dia tetap ingat pesan ibunya supaya bersyukur dan tidak meninggalkan perintah agama.

Sekian.

No comments: