Friday, June 12, 2009

Urus, Jimat, dan Simpan Duit

Ramai orang risau sebab duit sentiasa tak cukup. Belum habis bulan, duit gaji sudah habis. Apakah puncanya?

Senario demikian terjadi sebab kebanyakan berbelanja melebihi pendapatan. Ada yang berkata, "saya dah cuba berjimat, tapi tak cukup juga". Hal ini berlaku kerana kita tidak mengira terperinci berapakah perbelanjaan untuk setiap urusan.

Pakar perancangan pengurusan menasihatkan kita agar membuat perancangan dengan memperincikan kos bagi setiap perkara yang perlu kita belanjakan. Dengan membuat perincian, kita dapat mengetahui lebih tepat ke mana duit kita pergi.

Ia juga dapat membantu kita menyesuaikan antara keperluan dan kemampuan. Kita akan lebih berkira-kira untuk menetapkan kadar pebelanjaan bagi setiap barangan kerana setiap satunya mempengaruhi akan jumlah keseluruhan perbelanjaan kita.

Dengan membuat perincian perbelanjaan bulanan seperti perkara-perkara di bawah, kita akan dapat merancang perbelanjaan bulanan kita supaya sesuai dengan pendapatan.

1) Bil elektrik
2) Bil air
3) Telefon dan internet
4) Telefon bimbit (bil atau prabayar)
5) Barangan dapur
6) Ansuran kenderaan
7) Penyelenggaraan kenderaan
8) Sewa rumah / ansuran rumah

Lengkapkan senaraikan di atas dengan setiap perkara yang menjadi keperluan dalam kehidupan harian saudara.

Anggaran peruntukan bagi setiap perkara yang dikenal pasti di atas akan menghasilkan jumlah perbelanjaan bulanan.

Kemudian bandingkan dengan jumlah pendapatan bulanan (gaji) yang kita dapat. Sekiranya perbelanjaan melebihi pendapatan, maka kita perlu buat penyesuaian dengan mengurang sedikit bagi perkara-perkara tertentu. Pasti ada tempat yang boleh dikurangkan. Tidak sikit, banyak!

Sebaliknya jika pendapatan melebihi perbelanjaan, maka amaun yang lebih itu merupakan duit simpanan bulanan untuk kita. Katakan pendapatan kita RM3000 sebulan dan perbelanjaan pula sebanyak RM 2800. Maka baki RM200 adalah duit simpanan kita.

Setelah itu, anggarkan jumlah simpanan kita untuk tempoh satu tahun. Contohnya RM200 x 12 = 2400.

Kini kita dapat tahu lebih awal berapa kadar belanja kita untuk setiap keperluan hidup, dan jumlah simpanan yang kita dapat untuk tempoh satu tahun akan datang. Dengan demikian kerisauan tentang tidak cukup belanja yang sering mengganggu keceriaan siang dan ketenangan malam kita akan lenyap.

Hidup bertambah bahagia. Ayuh sama-sama amalkan perancangan kewangan dengan memperincikan perbelanjaan dan membuat simpanan untuk masa depan.

No comments: