Baru sebulan lebih berlalu kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Tentu sekali banyak wang telah habis dibelanjakan untuk pelbagai macam keperluan.
Ada antara kita yang sudah 'kepeningan' kerana bajet sudah 'lari'. Antaranya sebab kita habiskan wang tidak mengikut kemampuan, tetapi lebih cenderung mengikut kemahuan dan trend masa kini sambutan hari raya.
Mahukah kita situasi yang sama akan berulang lagi pada sambutan Hari Raya tahun depan dan tahun-tahun berikutnya. Sudah pasti tidak, bukan!
Untuk itu marilah sama-sama kita buat perubahan sedikit terutama bagi yang kurang merancang perbelanjaan masa depan. Caranya tidaklah susah kerana bukan perubahan drastik yang saya maksudkan.
Caranya ialah dengan membuat simpanan kadar yang sedikit tetapi berterusan. Mari buat simpanan harian sebanyak seringgit. Ya sebanyak RM1.00 sahaja. Tak banyak dan tak susah.
Nampak macam tak efektif. Baik saya setuju nampak tak efektif. Apa ada pada seringgit pada zaman sekarang!
Tapi cuba kalikan RM1.00 dengan 365 hari. Berapa jumlahnya. Bukan RM365.00 bukan! Oh ya banyak juga 365 ringgit. Boleh buat apa ya? Boleh buat isi petrol untuk balik kampung, atau beli baju raya untuk dua tiga orang anak, atau boleh buat duit raya untuk bagi kepada sanak saudara terdekat.
Jadi kalau kita mula simpan sekarang, raya tahun depan taklah perlu lagi memperuntukkan duit khusus untuk tujuan yang disebutkan tadi.
Namun begitu macam mana nak buat simpanan seringgit sehari? Macam-macam cara. Mari sama-sama kita tetapkan matlamat sekurang-kurang 7 ringgit seminggu kita simpan. Lebih tak apa tapi kalau kurang, kita cukupkan.
Contohnya bila ada sahaja duit lebihan belanja harian dalam bentuk seringgit, asingkannya. Yakni keluarkan daripada dompet kita dan letakkan atau simpan di tempat berasingan yang kita pilih.
Saya suka letak di celah buku atau diari lama. Pada mulanya letakkan seringgit pada setiap celahan kertas. Kalau tak sempat buat hari-hari, himpunkan untuk buat dua tiga hari sekali apabila kita teringat atau ada masa - terluang daripada kesibukan.
Duit yang diletakkan di celah buku atau diari akan lebih tersusun dan kemas. Setiap hari kita belek halaman baru untuk masukkan duit yang baru diasingkan.
Jika kesemua halaman telah terisi, kembali semula ke halaman permulaan dan letakkan pada halaman yang sudah ada duit seringgit sebelum ini. Kini pada halaman tu sudah jadi dua ringgit. Begitulah seterusnya. Sama-sama kita lakukan secara istiqomah.
Jangan ambil duit tersebut untuk belanja kecuali jika keadaan sangat-sangat memerlukan. Dan jika telah terguna, pastikan ganti semula.
Amalkan tabiat suka menabung biarpun sedikit tetapi amalan yang istiqomah pasti mendapat keberkatan.
No comments:
Post a Comment