Mengapa kita perlu menyimpan?
Sebagaimana yang pernah dibicarakan sebelum ini, menyimpan bukanlah sekadar menabung wang lebihan perbelanjaan. Menyimpan juga bukan berlaku secara tidak sengaja. Ramai yang beranggap belum masanya untuk menyimpan kerana pendapatan masih rendah. Tunggulah bila gaji sudah naik ke tahap angka tertentu barulah nak menyimpan.
Sayangnya bila gaji sudah naik, perbelanjaan pun bertambah. Masih seperti keadaan lama, tak juga-juga menyimpan. Sampai bila hendak dibiarkan fenomena ini mengikat hidup kita (bagi yang tidak menyimpan)?
Satu perkara yang membezakan seorang yang berjaya dengan sebaliknya ialah tabiat menyimpan. Mengikut kajian, satu daripada ciri orang yang hebat dan berjaya terutama dalam perniagaan, termasuk juga kerjaya makan gaji ialah amalan dan tabiat menyimpan.
Pendapatan atau gaji yang tinggi dianggap lebih baik kerana ia menjadi faktor penting terhadap kesejahteraan hidup. Tapi tidakkah pernah kita dengar orang yang bergaji agak besar juga contohnya 5000 ringgit masih menghadapi masalah kewangan? Dan pernahkah kita lihat atau dengar orang yang cuma berpendapatan kurang 2000 sebulan tidak menghadapi masalah kewangan dan hidup lebih tenang?
Hal ini jelas menunjukkan kepada kita angka pendapatan yang besar semata-mata tidak menjamin seseorang itu hidup senang dan seterusnya bebas daripada masalah-masalah kewangan.
Di samping tinggi rendah, kecil besar jumlah pendapatan seseorang, perkara yang paling penting ialah berapakah jumlah yang dapat disimpan setiap bulan daripada pendapatan. Misalnya pendapatan 5000 sebulan tetapi jumlah perbelanjaan katakan 5500 yakni perbelanjaan bulanan melebihi pendapatan sebanyak 500. Keadaan ini sudah tentu tidak baik.
Tetapi jika pendapatan misalnya 2000 sebulan dan seseorang dapat menguruskan perbelanjaan ke tahap katakan 1800 sebulan, maka ia sudah tentu lebih baik. Hal ini kerana lebihan 200 ringgit boleh disimpan untuk kegunaan masa depan.
Kitaran hidup umpama roda. Tidak setiap waktu seseorang akan berada dalam keadaan senang. Bila tiba masa terdesak yang memerlukan sumber kewangan melebihi daripada pendapatan bulanan, sudah pasti wang simpanan dapat digunakan. Ia juga dapat mengelakkan seseorang daripada berhutang dengan institusi kewangan yang tidak boleh dielakkan untuk membayar lebih daripada amaun yang dipinjam.
Justeru amalan menyimpan perlu dijadikan tabiat kerana ia adalah satu daripada sikap orang-orang yang berjaya. Dengan menyimpan secara berterusan, kesenangan hidup seseorang pada masa depan lebih cerah dan terjamin.
No comments:
Post a Comment