Zaman ini boleh dikatakan semua orang pergi membeli-belah atau berbelanja di pasar raya. Terutama untuk mendapatkan barangan keperluan asas. Dan kadang-kadang jika keadaan tidak mengizinkan, barang-barang berkenaan dibeli di kedai-kedai runcit berhampiran.
Apa yang nak dikongsikan di sini ialah adakah kita sedar tentang amalan berbelanja di pasar raya terhadap kadar perbelanjaan harian atau bulanan kita; berbanding berbelanja di kedai runcit.
Ya, umumnya di pasar raya harga barangan lebih rendah daripada di kedai runcit. Dengan itu membeli barangan di pasar raya lebih jimat atau menguntungkan berbanding dibeli di kedai-kedai runcit. Lagi banyak barangan dibeli, secara relatifnya lebih banyak penjimatan atau keuntungan diperoleh.
Mungkin sebab itu , satu masalah berlaku apabila berbelanja di pasar raya, kita akan lebih terdorong untuk membeli dalam kuantiti yang banyak. Pada hal ada sesetengah barang kurang diperlukan. Dan ada yang perlu tetapi bukan dalam kuantiti yang banyak seperti yang kita beli.
Akibatnya jumlah perbelanjaan kita agak tinggi berbanding jumlah sebenar yang patut atau perlu kita belanjakan pada masa itu.
Dan cuba kita renungkan, adakah masalah ini berlaku jika kita hanya pergi ke kedai runcit. Mungkin kita terasa harga baranganya lebih tinggi. Tetapi biasanya apabila berbelanja di kedai runcit kita akan lebih berhati-hati supaya hanya membeli barangan yang perlu dan patut sahaja (mungkin sebab kita sentiasa sedar harganya tidak serendah di pasar raya).
Keadaan ini (berbelanja di kedai runcit) sekali gus telah menyelamatkan wang kita daripada membeli barangan yang kurang perlu dan akhirnya perbelanjaan harian atau bulanan kita lebih rendah secara keseluruhan.
No comments:
Post a Comment