Thursday, August 19, 2010

Tip Membeli Di Pasar Raya

Suatu petang saya pergi ke sebuah pasar raya untuk beli alat tulis sekolah anak. Saya selalu berhati-hati membuat pilihan iaitu membandingkan harga dan kualiti antara beberapa jenama.

Kalau boleh nak yang murah dan kualiti tak lah teruk sangat. "Yang ini boleh ambil, barangnya pun nampak baik", bisik hati saya sambil menilik-nilik barang tersebut. Harga pada rak yang tersusun barangan itu tertulis RM12.70.

Dengan beberapa barang lain saya turun membuat bayaran di kaunter. Perbelanjaan saya pada hari itu tak banyak. Anggaran saya sebelum buat bayaran ialah kurang daripada RM30.00.

Tetapi semasa bayar, saya terasa pelik kerana jumlahnya lebih daripada yang saya anggarkan tadi. Sebaik sahaja terima resit saya terus semak. Saya dapati barang yang tertulis harga RM12.70 tadi rupaya RM17.50.

Terus saya pergi ke kaunter khidmat pelanggan buat aduan. Biarpun nilai duitnya kecil tetapi pada saya nilai moral besar, kerana saya rasa tertipu dan bimbang orang lain turut terkena.

Oleh itu saya nasihatkan apabila membeli-belah di pasar raya amalkan perkara-perkara berikut bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau ketidakpuasan hati.

1. Sentiasa imbas harga barang untuk pastikan harga yang dilabelkan sama dengan harga di kaunter bayaran.

2. Sentiasa buat pengiraan kasar jumlah perbelanjaan pada masa itu sebelum pergi ke kaunter bayaran kerana sebarang kesilapan dapat dikesan lebih awal.

3. Sentiasa semak resit bayaran sebelum meninggalkan pasar raya kerana mungkin terjadi jurubayar tersilap imbas lebih daripada sekali barang yang dibeli.

Semoga kita semua dapat mengamalkan cara belanja berhemah demi masa depan yang lebih bahagia.

No comments: