Sistem kuota yang memperuntukkan sekurang-kurang 30 peratus bagi golongan wanita untuk terlibat di peringkat pembuatan keputusan dalam sektor korporat telah menarik minat banyak pihak untuk memberikan pendapat.
Dasar ini disambut baik oleh golongan wanita. Tetapi apakah kita betul-betul faham apa yang dimaksudkan dengan istilah kuota?
Kuota adalah berbeza dengan sasaran atau matlamat. Sasaran adalah suatu tahap yang ditetapkan untuk dicapai. Untuk mencapai sesuatu sasaran memerlukan perancangan dan pelaksanaan secara strategik dan bersungguh-sungguh.
Untuk mencapai sesuatu sasaran setiap individu perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan penuh disiplin dan dedikasi. Sasaran akan menjadikan seseorang lebih berdaya saing kerana ia berupaya meningkatkan semangat untuk bersaing menjadi yang terbaik. Sasaran adalah sesuatu yang bersifat positif.
Berbeza pula dengan kuota. Sistem kuota pada asasnya adalah untuk memberikan jaminan ruang dan peluang kepada golongan tertentu. Dengan kata lain, sistem kuota diguna pakai untuk membantu golongan yang tidak betul-betul layak atau tidak mencapai piawaian/standard tertentu yang ditetapkan.
Dalam soal penglibatan di peringkat pembuatan keputusan dalam sektor korporat atau apa-apa sektor sekalipun, jika seseorang mempunyai kelayakan dan mencapai standard kompetensi yang ditetapkan oleh organisasi, dia akan mendapat tempat.
Di Malaysia hari ini sudah ramai wanita yang berjaya berada pada tahap pembuatan keputusan. Ia tidak lain disebabkan keupayaan yang mereka miliki.
Dalam pelaksanaan sistem kuota kemungkinan boleh berlaku kecenderungan untuk memenuhi kuota yang ditetapkan dengan tidak mengambil berat tentang standard. Pelantikan seseorang dipengaruhi oleh kecenderungan untuk memenuhi kuota.
Jika ia benar-benar berlaku sudah tentu akan membawa kesan buruk kepada negara kerana terdapat di kalangan mereka (golongan wanita) yang memegang jawatan penting adalah kurang berkualiti. Apakah akan terjadi jika keputusan-keputusan yang melibatkan kepentingan negara dibuat atau ditentukan oleh mereka yang tidak betul-betul layak?
Kita perlu sedar sebenarnya sistem kuota lebih bersifat memberikan bantuan kepada sesuatu golongan. Jika dilihat ada ciri-ciri persamaan antara kuota dan subsidi.
Kita sedar bahawa pihak kerajaan sering mengungkit soal subsidi yang diberikan kepada rakyat. Malah gologan cerdik pandai pun bersetuju bahawa selain membawa beban kepada kerajaan, subsidi boleh mengurangkan daya saing. Rakyat yang menerima subsidi akan lebih mengharapkan bantuan kerajaan dan kurang inisiatif untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh. Justeru atas alasan seumpama itu kerajaan menjelaskan kepada rakyat bahawa subsidi perlu disemak dan dirasionalisasikan.
Persoalannya, apakah tujuan sebenar penggubalan dasar sistem kuota tersebut? Adakah disebabkan oleh ramai golongan wanita yang berkelayakan tetapi tidak mendapat tempat di peringkat pembuatan keputusan?
Adakah benar sistem kuota yang diberikan kepada golongan wanita untuk terlibat di peringkat pembuatan keputusan akan meningkatkan daya saing mereka?
No comments:
Post a Comment